FALSAFAH


Falsafah Pendidikan Kebangsaan






Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat, dan negara.

Falsafah Pendidikan Guru

Guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin perkembangan individu, dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif, dan berdisiplin.


Cetakan Jun 2010
Kementerian Pelajaran Malaysia


Falsafah Aku Seorang Guru

Dalam hidup ini, tidak pernah terfikir untuk menjadi guru dan mendidik anak bangsa. Namun seiring dengan kematangan, aku terfikir apa yang aku hendak jadi dalam hidup ini, bukan hanya apa yang aku hendak kerja. Ini membuatkan aku muhasabah diri di samping mencari apakah potensi yang aku ada untuk di sumbangkan.

Hati aku amat dekat dengan insan, ya modal insan. Aku amat kasihan melihat insan tidak ada tempat untuk di jadikan rujukan dan tidak ada tempat untuk belajar dalam kehidupan. Insan itu terlalu besar nilainya dan aku amat-amat berharap agar dapat melakukan sesuatu yang berimpak kepada modal insan ini. Insan di anugerahkan Tuhan dengan minda yang menjadikannya istimewa serta berbeza dalam kehidupan ini.

Untuk hidup kita perlukan guru sebagai pembimbing, seseorang tidak mudah dengan hanya belajar sendiri apatah lagi di usia yang belum matang. Kerana itu aku ingin menjadi guru yang menyinari ruang hidup insan yang bernama pelajar ini.

Seiring perkembangan semasa dan kemajuan dunia pendidikan masa kini, aku mengambil cabaran untuk menyambung pelajaran ke peringkat sarjana demi meningkatkan pengetahuan, kemahiran serta pengalaman dalam kerjaya perguruan. Seorang guru dan pendidik perlu upgrade diri demi meneruskan kecemerlangan profesion perguruan.


Falsafah Aku dalam Pengajaran & Pembelajaran (P&P)

Insan dianugerahkan minda yang mempunyai potensi yang amat hebat, anugerah Tuhan yang tidak ternilai. Oleh kerana itulah salah satu tugas guru adalah mengembangkan potensi minda ini ke tahap terbaik. Minda yang berfikir ibarat pertumbuhan sebatang pokok yang perlu disiram,dibajai dan dijaga dengan baik agar pokok tersebut mampu menghasilkan cabang, dahan, bunga dan buah yang terbaik. Inilah amalan dan konsep aku seorang guru, aku bertanggungjawab mengembangkan potensi minda pelajar-pelajarku melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

Sebagai guru, akulah yang sepatutnya mencorakkan suasana dan situasi P&P. Aku mengambil pendekatan mengajar dengan sepenuh rasa cinta, kasih sayang dan perhatian. Walau siapa pun mereka, aku menerima seada-adanya dengan hati yang terbuka. Mendidik pelajar remaja bukan satu tugas yang mudah, ibarat menarik ramburt di dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak. Aku tidak mampu mengubah mereka, namun aku mampu mengubah diri aku untuk disesuaikan dengan diri mereka. Itulah tugas dan misi aku.

Setiap pelajar berpeluang mencuba dan menerokai aktiviti-aktiviti yang aku kelolakan. Mereka diberi peluang menjalani eksperimen, menjawab soalan dan berkongsi buah fikiran dalam aktiviti P&P. Pelbagai bagai eksperimen kami terokai dan jalankan bersama.Sedaya upaya aku mengadakan bahan/chemical untuk menjayakan eksperimen. Pada masa aku menggunakan CD courseware akan ada seorang pelajar yang menjadi technician membantu. Masa yang kami lalui dalam P&P tidak terasa dan selalu terasa amat singkat.Aku juga selalu membuat analogi dalam menterjemahkan isi pengajaran. Contoh aku biasanya yang mudah-mudah dan ada disekeliling kita. Di samping itu, aku selitkan juga dengan formula yang mudah-mudah diingat kepada pelajar. Mindaku selalu ligat sahaja berfikir bagaimana dan apakah cara terbaik untuk aku terjemah dan persembahkan isi pengajaran tersebut agar mudah untuk dihadam dan diterima minda mereka.

Pelajar yang silih berganti, mempunyai potensi dan kecenderungan yang berbeza-beza. Jadi biasanya silih tahun berganti, kaedah serta cara persembahanku juga beradaptasi dengan keadaan serta pelajar. Perubahan perlu ada agar tidak stereotaip dan membosankan.

Akulah guru yang ingin memberi inspirasi kepada semua pelajar-pelajarku, kerana tanpa mereka siapalah aku.

No comments:

Post a Comment