Mempunyai kepakaran dalam bidang
kimia pemangkinan, Prof Mohd Basyaruddin mencatat sejarah tersendiri pada
zamannya apabila berjaya menggenggam ijazah doktor falsafah (PhD) pada usia 26
tahun.
Nyata beliau bukan calang-calang
orang, apatah lagi kejayaan muncul sebagai orang Asia pertama yang menjalankan
projek penyelidikan berkaitan synchrotron radiation, antara cabang
pengkhususan kimia pemangkinan ketika mengambil PhD di University of
Southampton, England.“Saya memang suka mencuba sesuatu yang baru dan sebagai
ahli akademik serta saintis, penerokaan ilmu baru merentasi pelbagai disiplin
dituntut bagi memantapkan kepakaran dan pengetahuan sedia ada.“Di Malaysia, bidang
synchrotron radiation ketika itu belum lagi bertapak, malah sehingga
kini masih belum ada perkembangannya berikutan kekangan kemudahan makmal dan
kos tinggi. “Faktor itu menjadi kekuatan kepada saya untuk cuba mendalami
bidang yang saya anggap unik kerana ia hasil gabungan bidang fizik dan kimia,”
katanya.
Pernah meraih pengalaman sebagai penyelidik separuh masa di European Synchroton Radiation Facilities, Grenoble, Perancis dan Synchroton Radiation Station, Daresbury Laboratory, Warrington, England, Prof Mohd Basyaruddin bagaimanapun terpaksa mengenepikan peluang membina kerjaya di luar negara demi memenuhi hasrat ayah inginkan beliau menjadi pensyarah di universiti tempatan.Beliau kembali ke tanah air bagi menabur bakti sebagai pensyarah di UPM dengan harapan pengetahuan dan kepakaran dimiliki dapat disalurkan kepada pelajar tempatan.“Tiga tahun pertama sebagai pensyarah, saya leka dengan kesibukan mengendalikan pelbagai aktiviti peringkat universiti dan pelajar sehingga melupakan tuntutan dalam aktiviti penyelidikan.“Namun, teguran Timbalan Naib Canselor Inovasi dan Penyelidikan terdahulu , Prof Datuk Dr Abu Bakar Salleh menyedarkan saya untuk kembali membina kekuatan kerana sebagai ahli akademik, hanya satu perkara yang orang akan lihat iaitu jumlah penerbitan.“Bermula itu, saya mencabar diri sendiri untuk mencapai kecemerlangan dalam penyelidikan dan setiap apa yang saya lakukan, saya berpegang kepada falsafah, jangan menyesal mencuba daripada menyesal kerana tidak mencuba,” katanya.
Falsafah itu menjadi titik tolak
pencapaian Prof Mohd Basyaruddin dalam penyelidikan sehingga berjaya meraih
pelbagai pengiktirafan dan anugerah berprestij tempatan serta luar negara dalam
tempoh tujuh tahun.Mengetuai kumpulan penyelidikan Enzim dan Mikrobiologi
Teknologi UPM yang ditubuhkan sejak 1996, beliau pernah menjawat jawatan
sebagai Ketua Jabatan Kimia, Fakulti Sains UPM sebelum dipinjamkan ke
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bagi menerajui Pusat Penyelidikan
Biologi dan Struktur Sintetik, Institut Genom Malaysia (IGM) sebagai
pengarah sejak Januari 2009.Pada peringkat antarabangsa, Prof Mohd Basyaruddin
ialah Ahli Pengasas, Global Young Scientist Academy, ahli American Chemical
Society, Amerika Syarikat, ahli The New York Academy of Sciences, ahli bersekutu
Royal Society of Chemistry, United Kingdom dan ahli World Academy of Young
Scientists.
Kecemerlangan beliau dalam
penyelidikan turut mendapat pengiktirafan apabila dianugerahkan The Outstanding
Young Malaysian Awards 2008, Anugerah Khas Paten 2009, Outstanding Academic –
Young Scientist, InterAcademy Panel on International Issues, Jerman 2009, Young
Scientist Award, Academy of Sciences for Developing Nation 2009 dan Anugerah
Saintis Cemerlang Malaysia 2005.“Sehingga kini, saya masih aktif menjalankan penyelidikan
dalam skop yang lebih luas, bukan saja kimia, malah struktur biologi merangkumi
biopemangkinan, kejuruteraan protein dan simulasi molekular.“Antara kajian
pembangunan penyelidikan yang masih aktif pada peringkat makmal ialah Structural
Biology and Dynamics of Protein, Metalloenzyme and Metal Substitution in
Enzyme, Immobilisation of Enzyme on Advanced Materials, Chiral Esterification
of Oleochemicals and Pharmaceuticals, Ionic Liquid and Biosolvent Engineering
serta Molecular Modeling and Simulation,” katanya.
BIODATA: Prof Dr Mohd Basyaruddin Abdul Rahman
Asal: Pulau Pinang
Umur: 38 tahun
Pendidikan:
- Ijazah Doktor Falsafah Catalysis Chemistry, University of Southampton, England
- Ijazah Dwipengkhususan Kimia dan Sains Komputer, UPM
Pencapaian:
- Profesor Kimia Pemangkinan, Jabatan Kimia, Fakulti Sains UPM
- Pengarah Pusat Penyelidikan Biologi dan Struktur Sintetik, Institut Genom Malaysia
- Ketua Jabatan Kimia, Fakulti Sains UPM
- Penerima Anugerah Khas Paten 2009
- Anugerah Outstanding Young Malaysian 2008
- Outstanding Academic – Young Scientist, InterAcademy Panel on International Issues, Jerman 2009
- Young Scientist Award, Academy of Sciences for Developing Nation 2009
- Young Chemist Awards International Union of Pure and Applied Chemistry Foundation Member – Global Young Academy
- Director/Co-ordinator of the MyBio@School, National Biotechnology Promotion Tour to Schools SIRIM Lead Auditor
- Fellow Researcher of the Institute of Mathematical Research, Institute of Bioscience, dan Institute of Advanced Technology, UPM
- Penyelidik Separuh Masa di European Synchroton Radiation Facilities, Grenoble, Perancis dan Synchroton
- Radiation Station, Daresbury Laboratory, Warrington, England
Sumber: Berita Harian
No comments:
Post a Comment